Skip to main content
Advertisement

Malaysia

AKPS selamatkan hasil negara lebih RM322 juta, lonjak empat kali ganda - Saifuddin Nasution

Awang Alik (tengah) menyempurnakan pelancaran Pelan Strategik AKPS 2026-2030 pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pusat Konvensyen Movenpick hari ini.  -- fotoBERNAMA
Awang Alik (tengah) menyempurnakan pelancaran Pelan Strategik AKPS 2026-2030 pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pusat Konvensyen Movenpick hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan nilai rampasan mencecah RM322.74 juta hingga Oktober tahun ini, meningkat empat kali ganda berbanding tahun lepas sekali gus membuktikan keberkesanan agensi itu dalam membanteras ketirisan hasil negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu amat membanggakan memandangkan AKPS masih beroperasi pada kadar kekuatan awal sejak penubuhannya dua tahun lepas.

Beliau berkata kejayaan berkenaan membuktikan bahawa peranan AKPS bukan sekadar tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan sempadan, malah turut menjadi benteng penting dalam melindungi kepentingan fiskal negara.

"Biarpun baru beroperasi pada kadar kekuatan awal, AKPS telah membuktikan kejayaan luar biasa apabila nilai rampasan yang berjaya diselamatkan daripada ketirisan hasil negara hingga Oktober mencecah RM322.74 juta tahun ini dengan lonjakan empat kali ganda berbanding tahun lepas," katanya pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun kedua penubuhan AKPS, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman.

Saifuddin Nasution berkata usaha membanteras ketirisan hasil negara perlu terus dipergiat, khususnya melibatkan penyeludupan barangan berduti, komoditi terlarang, flora dan fauna serta barangan bersubsidi yang mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.

Justeru, beliau menggesa seluruh warga AKPS melipatgandakan usaha penguatkuasaan secara tegas, teliti dan agresif bagi memastikan hasil negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk ketirisan.

Beliau berkata penubuhan AKPS dua tahun lepas berakar umbi daripada wawasan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meruntuhkan amalan kerja secara silo dan membina benteng kedaulatan negara yang moden, bersepadu dan berintegriti di bawah satu “chain of command” berteraskan semangat “single border agency” (SBA).

"Dalam tempoh singkat ini, kita telah menganalisis dan menilai keberkesanan pengoperasian agensi ini menerusi pendekatan berfasa serta mengambil kira tahap ancaman semasa dan kesediaan sumber manusia dan logistik.

"Keberkesanan ini terbukti melalui penguatkuasaan Skim Perkhidmatan Baharu AKPS pada 1 Julai 2026, kejayaan melatih barisan 408 pegawai perintis Penguasa Sempadan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang merangkul identiti inklusiviti tanah air serta kesiapsiagaan kawalan pintu masuk strategik termasuk di RTS Link Johor Bahru-Singapura," katanya.

 Saifuddin Nasution berkata AKPS kini bukan lagi sekadar entiti baharu, tetapi tonggak keselamatan sempadan yang tangkas bertindak terhadap dinamik keselamatan antarabangsa.

Beliau berkata ketangkasan dan kecekapan AKPS telah diuji susulan insiden penahanan seorang juruterbang di Jakarta pada 28 Julai lepas, yang mendorong kerajaan menetapkan Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan berteraskan tiga komponen utama iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan, serta keselamatan fizikal dan perlindungan.

Beliau berkata menerusi pelan itu, AKPS telah diberi kepercayaan penuh sebagai agensi peneraju bagi Teras Keselamatan Negara dan Sempadan untuk melaksanakan tiga syor utama di bawah seliaannya iaitu pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko, pengukuhan Unit Anjing Pengesan (K9) dan penyelarasan risikan antara agensi.

"Dalam konteks ini, AKPS telah mula melaksanakan penyelarasan gerak kerja pengoperasian bersepadu Ops Sundang demi memastikan tempoh masa sasaran yang ditetapkan dicapai melalui sinergi antara AKPS dan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia serta Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB)," katanya.

Saifuddin Nasution berkata AKPS kini memasuki fasa pematangan dan pengukuhan operasi, dengan penekanan terhadap keselamatan sempadan, kelancaran pergerakan pengembara dan perdagangan serta integriti anggota.

"Saya ingin menitipkan empat amanat utama untuk dijadikan pedoman seluruh warga AKPS iaitu memperkukuh kawalan keselamatan sempadan tanpa kompromi dan memacu kecekapan fasilitasi pengembara dan kelancaran perdagangan," katanya 

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata warga AKPS harus menyelamatkan hasil negara dan membanteras ketirisan secara agresif serta memperkasakan integriti, budaya kerja, disiplin ketat, dan ketegasan standard operasi prosedur (SOP).

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement