[TERKINI] Setiausaha Agung FAM Digantung Tugas Serta-Merta. Isu dokumentasi pemain warisan kepada FIFA – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

AKPS tahan wanita tempatan disyaki seludup warga asing guna laluan khas KLIA

Astro Awani 17/10/2025 | 06:50 MYT
Seorang wanita tempatan ditahan kerana disyaki menyeludup warga asing melalui laluan khas imigresen di KLIA Terminal 2 menggunakan slip Fast Track. -Foto AKPS
SEPANG: Seorang wanita tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing menggunakan kemudahan laluan khas di kaunter pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.


Ringkasan AI
  • Seorang wanita tempatan ditahan kerana disyaki menyeludup warga asing melalui laluan khas imigresen di KLIA Terminal 2 menggunakan slip Fast Track.
  • Aktiviti ini dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan majikan dan melibatkan warga asing dari beberapa negara serta kakitangan syarikat lain yang turut disiasat.
  • Suspek direman di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan enam warga Indonesia yang terlibat ditahan di Depot Imigresen Putrajaya, sementara AKPS terus memperketat penguatkuasaan di pintu masuk negara.


Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), wanita berusia 34 tahun itu ditahan pada 15 Oktober lalu hasil risikan dan pemantauan pegawai AKPS di lapangan.

Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai penyelia di Kuala Lumpur Airport Hotel Sdn Bhd (KLAH) cuba membawa masuk enam warga Indonesia menggunakan slip Fast Track bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan imigresen tanpa mengikut prosedur biasa.

“Wanita tempatan itu dipercayai menerima sejumlah bayaran bagi setiap penumpang yang berjaya dibawa masuk,” kata AKPS dalam kenyataan hari ini.

Aktiviti itu dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan majikan dan ketika waktu cuti.

Tambah kenyataan itu, hasil siasatan lanjut turut mendapati beberapa individu lain, termasuk kakitangan KLAH dan FTCO Consultancy Sdn Bhd, dipercayai terlibat dalam mengatur kemasukan warga asing dengan modus operandi sama.

“Kegiatan ini disyaki telah berlanjutan lebih setahun dan melibatkan warga asing dari Indonesia, China, Vanuatu, Kemboja, dan Laos,” menurut kenyataan itu lagi.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan direman di Lokap Aeropolis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, enam warga Indonesia yang turut ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

AKPS dalam masa sama menegaskan pihaknya akan terus memperketat penguatkuasaan di semua pintu masuk negara.

“AKPS komited meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran, pemerdagangan orang serta penyalahgunaan kemudahan khas di pintu masuk negara,” katanya.









#Akta Imigresen #AKPS #warga asing #sindiket #slip Fast Track