Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

AKPS temukan enam bungkusan ganja cuba diseludup di KKIA

Bernama 13/10/2025 | 13:30 MYT
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menemukan enam bungkusan disyaki dadah jenis ganja yang cuba diseludup di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) semalam. - Foto hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menemukan enam bungkusan disyaki dadah jenis ganja yang cuba diseludup di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) semalam.

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bungkusan berkenaan ditemukan melalui imbasan mesin X-ray susulan pemeriksaan rutin oleh anggota AKPS.

"Tindakan pemeriksaan fizikal mendapati ia mengandungi bahan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat kasar keseluruhan bungkusan yang dirampas adalah 6.877 kilogram," menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan kes berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk siasatan lanjut.

"Kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia, JKDM dan Jabatan Imigresen Malaysia akan terus diperkukuh melalui pemantauan bersepadu di KKIA," menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat atau menjadi ejen penghantaran bagi mana-mana bungkusan yang mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang bungkusan daripada pihak tidak dikenali.

-- BERNAMA



#AKPS #LTAKK #KKIA #enam bungkusan ganja