MALAYSIA

AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA

Bernama 26/07/2025 | 08:15 MYT
Operasi intensif selama tujuh jam bermula 9.30 pagi itu diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti yang telah memeriksa lebih 400 individu. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 99 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam selepas gagal melepasi saringan keselamatan.


Ringkasan AI
  • AKPS menolak kemasukan 99 warga asing di KLIA Terminal 1 selepas gagal melepasi saringan keselamatan dan syarat imigresen, termasuk tujuan lawatan yang meragukan.
  • Operasi intensif selama tujuh jam melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual terhadap lebih 400 individu dari penerbangan berisiko tinggi.
  • AKPS akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara berkala bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.


AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua individu berkenaan terdiri daripada 80 warga Bangladesh, 10 dari India dan sembilan dari Pakistan

"Penolakan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat imigresen termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.

"Kesemua 99 individu berkenaan yang merupakan lelaki telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang semula ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan operasi intensif selama tujuh jam bermula 9.30 pagi itu diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti yang telah memeriksa lebih 400 individu dan menyasarkan penerbangan berisiko tinggi.

"Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu," menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan langkah penguatkuasaan seperti itu akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.

-- BERNAMA





#Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan #AKPS #KLIA #warga asing