AKPS tolak kemasukan sembilan warga asing di ICQS Bukit Kayu Hitam

AKPS sentiasa komited dalam memastikan kawalan di pintu masuk negara berada pada tahap tertinggi serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang. - Gambar fail
ALOR SETAR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melaksanakan tindakan penolakan masuk terhadap sembilan warga asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Timbalan Komander Operasi AKPS Bukit Kayu Hitam, Noor Azam Ahmad berkata, kesemua warga asing dari China, Amerika Syarikat dan Thailand itu tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana tidak mematuhi syarat kemasukan serta gagal memberikan alasan dan tujuan yang kukuh.
"Dua wanita dan lima lelaki China, seorang lelaki Amerika Syarikat dan seorang wanita Thailand berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dilarang masuk ke negara ini atas pelbagai sebab.
"Lelaki warga Amerika Syarikat ditolak kemasukan ke Malaysia kerana tidak mempunyai tempahan tiket pulang serta tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, wanita warga Thailand pula didapati namanya tersenarai dalam senarai syak jabatan iaitu disenarai hitamkan daripada memasuki Malaysia.
Tambah beliau, tiada sebarang rampasan dibuat dalam kes ini dan kesemua mereka telah diberikan Notis Penolakan Masuk dan diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.
"AKPS sentiasa komited dalam memastikan kawalan di pintu masuk negara berada pada tahap tertinggi serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


