Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Akta 866: MCMC bangunkan instrumen subsidiari lindungi kanak-kanak, tangani risiko dalam talian

Bernama 19/08/2025 | 08:00 MYT
Fahmi berkata MCMC turut meneliti keperluan bagi penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan pelabelan kandungan yang dijana secara automatik menggunakan teknologi AI menerusi kod tersebut.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), yang memberi tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian dan pengurusan risiko dalam talian.


Ringkasan AI
  • MCMC sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta 866 yang memberi fokus kepada perlindungan kanak-kanak dan pengurusan risiko dalam talian, termasuk pelabelan kandungan yang dijana oleh teknologi AI.
  • Penyedia perkhidmatan diwajibkan menyediakan pelan keselamatan dalam talian bagi memastikan ketelusan dan pematuhan terhadap obligasi keselamatan, selaras usaha mengawal kandungan mengelirukan atau manipulatif.
  • Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dalam Talian untuk menasihati MCMC, manakala sebanyak 417 daripada 439 kandungan penipuan deepfake telah berjaya diturunkan dari media sosial sejak Januari hingga Ogos.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC turut meneliti keperluan bagi penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan pelabelan kandungan yang dijana secara automatik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi kod tersebut.

"Inisiatif ini bertujuan membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang berpotensi mengelirukan, manipulatif atau tidak sahih, selaras dengan usaha mengurangkan risiko penyebaran maklumat tidak tepat atau kandungan memudaratkan di platform dalam talian.

"Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian mereka, penyedia perkhidmatan hendaklah menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu adakah kerajaan akan menggubal undang-undang yang mewajibkan penerbit kandungan meletakkan label pada konten termasuk imej dan video yang dijana atau dimanipulasi oleh AI.

Fahmi berkata kerajaan telah menggubal Akta 866 itu bagi meningkat dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia, serta mengawal selia kandungan memudaratkan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dalam Talian yang berfungsi untuk menasihati dan memberikan syor kepada MCMC mengenai perkara-perkara berhubung keselamatan dalam talian.

Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dalam Talian akan diuruskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang keanggotaannya terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil daripada penyedia perkhidmatan berlesen.

Dalam pada itu, Fahmi berkata MCMC telah memohon untuk menurunkan 439 kandungan di media sosial yang berunsur penipuan menggunakan teknologi deepfake sejak 1 Jan hingga 15 Ogos.

Daripada jumlah itu, 417 kandungan telah berjaya diturunkan dengan majoriti kandungan disebarkan di Facebook.

-- BERNAMA



#Akta 866 #MCMC #Fahmi Fadzil #perlindungan kanak-kanak