NATIONAL

Akta baharu kawal penyalahgunaaan nama 'muzium'

Yasmin Natasha 18/05/2025 | 06:10 MYT
Aaron (tengah) di Majlis Seminar Muzium Antarabangsa Malaysia 2025, di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR: Terdapat banyak institusi yang menggunakan istilah muzium tanpa memenuhi standard atau fungsi sebenar sesebuah muzium, kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.


Ringkasan AI
  • Banyak institusi menggunakan istilah "muzium" tanpa memenuhi kriteria sebenar, menyebabkan kekeliruan dan mencemarkan imej muzium tulen.
  • Kerajaan sedang merangka Akta Muzium untuk menetapkan standard dan sistem penarafan bagi institusi yang ingin menggunakan nama "muzium", terutamanya sektor swasta.
  • Akta ini juga akan mewujudkan Majlis Muzium sebagai badan penasihat rasmi untuk menilai kelayakan institusi dan memastikan kandungan muzium selaras dengan dasar negara serta mempunyai nilai pendidikan dan warisan.


Justeru katanya, satu akta khusus bagi mengawal penggunaan istilah berkenaan akan digubal oleh Kementerian Perpaduan melalui jabatan berkenaan.

Beliau berkata, penggunaan istilah berkenaan yang tidak dikawal boleh mengelirukan orang awam serta mencemarkan imej institusi muzium yang sebenar.

“Kami mendapati banyak institusi menggunakan nama ‘muzium’, sedangkan tidak memenuhi kriteria sebuah muzium sebenar. Ada yang hanya berfungsi seperti gudang atau ruang pameran biasa. Akta ini akan memastikan hanya institusi yang memenuhi standard layak digelar muzium.

"Bagi menangani isu ini, kerajaan sedang merangka Akta Muzium yang akan menetapkan kriteria jelas dan sistem penarafan untuk institusi yang ingin menggunakan nama 'muzium' terutamanya dalam sektor swasta dan persendirian," katanya ketika sidang media Majlis Seminar Muzium Antarabangsa Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, akta tersebut juga akan memperkenalkan penubuhan Majlis Muzium, sebuah badan penasihat rasmi yang bertanggungjawab menetapkan standard serta menilai kelayakan sesebuah institusi untuk diklasifikasikan sebagai muzium.

“Kita mahu mengelakkan wujudnya muzium yang tidak sah, yang mungkin membawa kandungan bercanggah dengan dasar negara atau tiada nilai pendidikan dan warisan. Penarafan dan pengiktirafan rasmi penting untuk menjamin kualiti serta integriti institusi muzium di negara ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Aaron berkata, Akta Muzium itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen November ini.

“Sekarang ini, muzium dan kementerian sedang menyiapkan draf akta berkaitan... kita berharap ia akan dapat lulus untuk dibawa ke Kabinet seterusnya ke Parlimen.

“Kita perlu (buat) banyak libat urus, di Malaysia kita ada banyak muzium dimiliki oleh pihak swasta di negeri-negeri,” katanya.



#Aaron Ago Dagang #Parlimen #Akta Muzium #Kementerian Perpaduan