Satu akta atau undang-undang sebagai rujukan kepada mana-mana sumbangan dana politik kini sedang dalam peringkat perbincangan kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

Namun, beliau tidak memaklumkan bila keputusan mengenai akta berkenaan akan dibawa ke Parlimen.

Johari berkata ketika ini sebuah panel sedang merangka pembikinan akta berkenaan yang akan digunakan ke atas semua pihak, tidak hanya tertakluk kepada parti pemerintah.

“Kita sedang tunggu satu akta berkenaan dana politik yang nanti boleh diguna pakai kepada semua pihak tidak kira parti pemerintah, pembangkang atau individu, asalkan ada kena-mengena dengan sumbangan politik.

“Kalau akta itu diwujudkan, lebih mudah untuk kita rujuk,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Hari Keluarga Perbendaharaan Kementerian Kewangan 2016 di Serdang pada Ahad.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak akan terlibat dalam pembikinan akta terbabit.