Pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan ditambah baik kerana undang-undang itu perlu bagi sebuah negara majmuk.

Pengerusi Biro Perlembagaan MPM Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata akta itu memang relevan bagi menjaga keselamatan negara ini yang berlatarbelakangkan kehidupan berbilang kaum, agama dan adat resam masyarakat.

Katanya, akta itu juga perlu diperkukuhkan bagi menjamin keharmonian, perpaduan dan ketenteraman nasional.

Beliau berkata, ketiadaan Akta Hasutan seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak akan mengakibatkan golongan tertentu mencerca perkara-perkara sensitif membabitkan keamanan negara.

"Isu-isu seperti isu mengasingkan Sabah dan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia atau mencerca dan mencela agama sudah pasti akan pecah-belah sebuah negara yang aman dan harmoni," katanya dalam sidang media mengenai Akta Hasutan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata Akta Hasutan mempunyai ruang untuk ditambah baik atau diperkukuhkan jika perlu untuk disesuaikan mengikut peredaran zaman berdasarkan perkara-perkara sensitif.

Kerajaan sebelum ini bercadang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikan ia dengan akta baharu yang dikenali Akta Keharmonian Nasional.

Tambah Abdul Aziz, Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan kerana keamanan dan kestabilan dalam negara boleh tergugat serta beberapa perkara sensitif melibatkan institusi Diraja, hak dan keistimewaan Bumiputera serta kebebasan bersuara boleh tercabar.

Mengimbas kembali sejarah kewujudan Akta Hasutan 1948, beliau berkata selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Parlimen telah meluluskan akta itu dan pindaan telah dilaksanakan dengan empat perkara sensitif seperti dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak.

Empat perkara itu ialah kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), Kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152) dan Hak-Hak Kewarganegaraan (Bahagian III), katanya.

"Persoalan isu-isu sensitif dianggap sebagai satu daripada punca rusuhan 13 Mei, 1969. Dengan itu diputuskan dilarang untuk mempersoalkan empat isu sensitif itu," katanya.

Bagi membolehkan ini dilakukan, Abdul Aziz, yang juga seorang peguam, menjelaskan Perkara 10 (Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) telah dipinda bagi membolehkan Parlimen meluluskan undang-undang untuk mengenakan batasan bagi kebebasan bersuara dan larangan mempersoalkan isu-isu sensitif dengan menambah Perkara 10 (4).

"Malah, Perkara 63 (Hak Istimewa Parlimen) telah dipinda kepada Perkara 63 (4) yang menyatakan bahawa malah dalam Parlimen, empat isu itu tidak boleh dipersoalkan," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata Perkara 159 turut dipinda dengan tambahan Klausa 5 (159) (5) yang menetapkan mana-mana pindaan termasuk pemansuhan atau undang-undang diluluskan di bawah peruntukan membabitkan empat isu sensitif itu, tidak boleh diluluskan tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja.

Bagi mengekang dan mengawal rusuhan 13 Mei dan insiden serupa daripada berlaku pada masa depan, katanya Parlimen meluluskan satu undang-undang meminda Akta Hasutan 1948 dengan menambah Seksyen 3(1)(f) yang menetapkan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dihukum bagi sesiapa yang mempersoalkan mana-mana isu sensitif itu.

Undang-undang pindaan itu diluluskan di bawah Perkara 10 (4) Perlembagaan.

Mengulas langkah pihak tertentu yang mahu memansuhkan Akta Hasutan termasuk memansuhkan Seksyen 3(1)(f), Abdul Aziz berkata langkah itu perlu mematuhi Perkara 159 (5), iaitu Parlimen perlu memastikan keputusan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum meluluskan undang-undang untuk memansuhkan akta itu.

"Ramai orang bercakap untuk memansuhkan Akta Hasutan tetapi tiada siapa yang bercakap tentang Perkara 159 (5). Bukan mudah untuk memansuhkan undang-undang seperti yang mereka katakan. Ini merupakan isu serius.

"Isunya adalah sama ada adakah bijak untuk membahaskan dan berhujah tentang pemansuhan Akta Hasutan sedangkan Majlis Raja-Raja tidak dirundingi. Malah, kerajaan sekalipun jika mahu tambah baik atau memperkukuh undang-undang, mereka perlu dapatkan kelulusan Majlis Raja-Raja," katanya.

Ditanya adakah insiden 13 Mei boleh berulang jika Akta Hasutan dimansuhkan, Abdul Aziz berkata: "Ini akan membenarkan orang ramai berdebat secara terbuka perkara-perkara sensitif, orang akan mula mencerca dan mencela agama lain dan bangsa lain akan menyentuh kedudukan orang Melayu.

"Ini akan menyebabkan masalah perkauman dan menjejaskan perpaduan yang selama ini menjadi asas pembinaan negara serta keharmonian kaum dan agama di negara".

Turut hadir ialah penasihat MPM Tun Mohammed Hanif Omar, Pengerusi Biro Integriti MPM Tan Sri Mohd Zaman Khan dan Setiausaha Agung MPM Datuk Dr Hasan Mad.