Akta Hasutan 1948 masih diperlukan bagi menghalang tindakan dan ancaman puak pelampau yang tidak mahu melihat negara ini berada dalam keadaan bersatu-padu tanpa mengira agama dan kaum.

Presiden Majlis Senator Malaysia Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata disebabkan itu negara luar terutamanya Amerika Syarikat tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran negara ini dengan mempertikaikan keputusan kerajaan mengekalkan akta berkenaan.

"Kami berharap negara-negara lain khususnya Amerika Syarikat tidak campur tangan dalam hal mengawal keadaan di negara kita yang mempunyai akta-akta tertentu untuk menentukan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.

Abdul Rahim mengulas tindakan Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang dilaporkan menyuarakan 'kebimbangan' mengenai Akta Hasutan yang dikekalkan oleh Malaysia baru-baru ini.

Dalam tweet itu, Biden menyatakan: "Di tengah-tengah hubungan Amerika Syarikat-Malaysia yang semakin berkembang, tindakan kerajaan Malaysia menggunakan sistem perundangan dan Akta Hasutan bagi mengekang pembangkang telah menimbulkan kebimbangan mengenai kedaulatan undang-undang."

Pada 27 Nov lepas, semasa Perhimpunan Agung Umno 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dengan mengambil kira pandangan rakyat, akta itu dikekalkan dengan cadangan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi mengukuhkan lagi akta berkenaan.

Abdul Rahim berkata Biden sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman negaranya terlebih dahulu, antaranya isu penjara Teluk Guantanamo yang menempatkan pesalah tanpa perbicaraan yang masih kekal beroperasi dan kekerasan polis berkulit putih terhadap rakyat berkulit hitam, sebelum mempertikaikan keputusan kerajaan negara luar.

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan negara lebih mengetahui pendekatan terbaik untuk rakyat Malaysia kerana mereka lebih memahami dan mengetahui cara mengurus serta mentadbir negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

"Kami penuh yakin bahawa keputusan kerajaan untuk mengekalkan akta ini dapat melindungi kesejahteraan rakyat tanpa menggugat kestabilan negara," katanya.