“Mereka tidak mewakili keseluruhan peguam di negara ini.”

Begitu komen fasilitator Gerakan Warganegara Mempertahankan Akta Hasutan 1948, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Majlis Peguam yang menganjurkan perarakan bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut.

Perarakan yang berlangsung semalam di ibu negara itu digelar 'Perarakan untuk Keamanan dan Kebebasan 2014' disertai ratusan para peguam dan anggota dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Majoriti yang menyertai perarakan itu bukanlah peguam. Ini adalah satu petanda bahawa desakan mereka itu bukanlah pendirian penuh kesemua pengamal undang-undang di negara ini yang beribu-ribu jumlahnya.

“Isu yang mereka juangkan itu sebenarnya tidak dapat diterima sebahagian lagi rakyat negara ini yang memahami kepentingan Akta Hasutan dipertahankan,” ujar Mohd Khairul Azam.

Sementara itu, gerakan yang difasilitasi Khairul Azam tersebut setakat ini juga giat melancarkan petisyen bagi mengumpul sokongan rakyat Malaysia yang mahu mempertahankan Akta Hasutan 1948.

Kumpulan berkenaan mahu mensasarkan sekurang-kurangnya sejuta petisyen warganegara secara maya dan fizikal seterusnya mahu menyerahkan ia bersama Memorandum Warganegara Mempertahankan Akta Hasutan 1948 kepada Yang di-Pertuan Agong bersama salinannya kepada Perdana Menteri dalam sidang Parlimen yang akan datang.

Sehingga kini, gerakan itu aktif menjalankan siri jelajah bersama kumpulan sukarelawan yang mendekati masyarakat seterusnya menjelaskan kepentingan Akta Hasutan dikekalkan di negara ini, selain mengumpul tanda tangan.

Khairul Azam menambah, perkara yang perlu difahami adalah mengenai aspek keselamatan dan kawalan dalam Akta Hasutan yang berfungsi untuk mengekang sebarang bentuk ancaman yang boleh menjejaskan sosiopolitik rakyat negara ini.

“Apabila bercakap tentang ancaman, tidak perlu dibuktikan tentang niat perlakuan tersebut. Sebarang kecenderungan untuk menghasut juga boleh dikenakan tindakan. Sesiapa sahaja, malah ahli Parlimen juga tidak kebal dan boleh didakwa jika mereka bertindak sedemikian,” kata Khairul Azam.

Antara yang turut menyokong petisyen itu ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Musa Hassan, bekas Pesuruhjaya Polis, Datuk Othman Talib dan Tan Sri Zaman Khan selain peguam lantang yang juga bekas Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin.

Mereka itu adalah antara individu yang sering menjawab hujah, khususnya yang dibangkitkan oleh kumpulan yang mahu memansuhkan Akta Hasutan.


Membendung ancaman

“Mereka (kumpulan membantah Akta Hasutan) sering berkata tentang akta-akta lain yang sedia ada dan boleh digunakan dalam menangani isu keselamatan negara. Memang benar, namun penggunaan akta-akta tersebut lebih menjurus untuk perlakuan jenayah (yang sudah dilakukan).

“Sedangkan Akta Hasutan adalah khusus untuk mengekang terjadinya sesuatu perkara yang dibimbangi mengganggu gugat keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat berbilang kaum, kedudukan Sultan, agama dan sebagainya,” jelas Tan Sri Musa Hassan.

Musa juga menyedari sentimen yang sering dimainkan pihak yang membantah Akta Hasutan iaitu ia dikatakan sebagai ‘perisai eksklusif’ untuk Melayu .

“Itu tidak benar sama sekali. Akta ini sudah dicipta sejak zaman British di Tanah Melayu suatu masa dahulu. Ia memelihara kepentingan semua pihak, misalnya seseorang itu tidak boleh membangkitkan soal kewarganegaraan setiap kaum yang ada di negara ini.

“Jika kaum bukan Melayu merasakan ada pihak yang menghasut dan mengancam hak serta kepentingan mereka di negara ini, Akta Hasutan akan digunakan untuk melindungi mereka.

Secara mudah, menurut Musa, Akta Hasutan perlu difahami golongan yang melanggar beberapa perkara sensitif seperti mencabar kedaulatan raja, menimbulkan permusuhan antara rakyat berbilang kaum, mempertikaikan soal agama serta usaha menjatuhkan kerajaan tanpa mengikut undang-undang.

“Kami yang membantah gerakan penghapusan Akta Hasutan ini bukan sahaja kekal dengan pendapat bahawa ia perlu dikekalkan, malah kami mahukan beberapa pindaan dibuat untuk mengukuhkan lagi akta tersebut,” ujar Musa.