Baik kerajaan atau pembangkang, ahli-ahli politik di Malaysia dilihat senada dalam usaha melaksanakan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menurut penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Peguam Negara kerana tidak melengah-lengahkan pembentangan akta ini di Parlimen.

"Persatuan kebajikan haiwan menghargai usaha kerajaan meluluskan rang undang-undang tersebut yang menjadi peristiwa yang bersejarah buat negara kita.

"Melalui rang undang-undang ini juga, pertama kali kita dapat lihat, ia menyatukan semua ahli politik dalam Parlimen. Ahli-ahli politik ini selalu bercanggah pendapat antara sesama mereka, kerana percanggahan itu memang sebahagian daripada politik.

"Namun apabila Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan ini dibentangkan di Parlimen, kedua-dua parti politik daripada pembangkang dan kerajaan ini mengambil satu pendirian yang sama.

"Mereka bersatu, mereka memberi pandangan yang baik, dan mereka berasakan ini adalah undang-undang yang relevan dan mesti dilaksanakan," jelas beliau dalam satu sidang media di sini pada Sabtu.

Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan 2015 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 9 April lepas, membolehkan penubuhan Lembaga Kebajikan Haiwan.

Antara fungsi lembaga ini adalah termasuk memantau kerja-kerja persatuan atau badan yang ditubuhkan bagi maksud mencegah trauma, kesakitan atau penderitaan kepada haiwan.

Dalam pada itu, Lam Thye turut mencadangkan kepada kerajaan supaya badan bukan kerajaan (NGO) terlibat sama menjadi ahli lembaga itu.

"Dalam rang undang-undang itu melihatkan menteri boleh melantik mana-mana orang untuk menjadi anggota lembaga selepas berunding.

"Jadi saya mencadangkan ada pelantikan anggota lembaga ini terdiri juga daripaga NGO seperti SPCA. Pelantikan ahli-ahli NGO ini adalah untuk menambah baik aspek kebajikan haiwan di negara ini seperti memberi sumbangan idea dan memberi maklum balas daripada rakyat kepada kerajaan."

Beliau juga mengharapkan dengan undang-undang ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang tanggungjawab memelihara haiwan.

"Undang-undang ini menjelaskan tanggungjawab kepada masyarakat. Ada ramai di antara kita membela anjing, kucing atau sebagai, mereka ada tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka dan mereka perlu pastikan kebajikan haiwan mereka.

"Orang yang membuang haiwannya merata-rata tempat boleh dikenakan undang-undang kerana dianggap zalim, begitu juga mereka yang tidak memberi makan dan minum kepada haiwan peliharaan mereka," kata Lam Thye.

Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan turut mencadangkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama bagi kesalahan-kesalahan di bawah akta itu termasuk menganiaya haiwan, membunuh dengan menembak tanpa sebab munasabah, meracun dan terlibat dalam judi laga haiwan.

Dengan pelaksanaan akta kebajikan haiwan ini kelak, Malaysia bakal menyertai beberapa buah negara anggota Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) yang telah mempunyai undang-undang khusus berkaitan kebajikan haiwan seperti India, New Zealand, Australia dan United Kingdom.