MALAYSIA
Akta Kebebasan Maklumat: RUU perlu berasaskan hak asasi, ketelusan

Penggubalan rang undang-undang (RUU) berkaitan Kebebasan Maklumat (FOI) atau Hak Mendapatkan Maklumat (RTI) di Malaysia perlu berlandaskan prinsip hak asasi manusia, menggalakkan ketelusan.- Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Penggubalan rang undang-undang (RUU) berkaitan Kebebasan Maklumat (FOI) atau Hak Mendapatkan Maklumat (RTI) di Malaysia perlu berlandaskan prinsip hak asasi manusia, menggalakkan ketelusan serta disusuli dengan reformasi institusi yang bermakna.
52 badan organisasi masyarakat sivil termasuk 21 pakar dalam satu kenyataan berpendapat, hak mendapatkan maklumat telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Waad Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), serta termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
"Rangka kerja RTI yang tulen dan bersepadu adalah penting untuk menangani budaya kerahsiaan yang berakar umbi di Malaysia, mengukuhkan penyertaan demokratik dan membina kepercayaan rakyat terhadap tadbir urus dalam badan awam," kata kenyataan.
Dalam pada itu, RUU FOI yang bakal digubal perlu diselaraskan dengan reformasi undang-undang yang lebih luas bagi memastikan keberkesanannya serta tidak bercanggah dengan peruntukan sedia ada, menurut satu kenyataan media oleh sebuah badan pemantau dasar awam hari ini.Menurut kenyataan itu lagi, antara langkah penting yang perlu diambil termasuklah pemansuhan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) yang dianggap bercanggah dengan prinsip ketelusan dan pendedahan maklumat secara terbuka.
Selain itu, Seksyen 203A Kanun Keseksaan juga perlu dimansuhkan, manakala Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 harus diselaraskan bagi melindungi pendedahan maklumat demi kepentingan awam, menjaga privasi dan memupuk akauntabiliti.
"Dalam tempoh penggal yang panjang, kerajaan harus bertekad untuk menyemak dan menggugurkan perkataan “kewajipan kerahsian” dalam pelbagai peruntukan perundangan di Malaysia yang sekali gus mengenakan larangan menyeluruh terhadap pendedahan bagi sesetengah kategori maklumat atau semua maklumat yang dipegang oleh semua agensi/badan awam," katanya.
Kenyataan itu turut menekankan keperluan untuk menyemak semula pelbagai peruntukan undang-undang yang mengandungi istilah kewajipan kerahsiaan yang dikenakan secara menyeluruh terhadap pendedahan maklumat oleh agensi dan badan awam.
Sementara itu, pihak berkepentingan digesa mengambil langkah konkrit dalam usaha menggubal perundangan Kebebasan Maklumat (FOI) yang berkesan dan berlandaskan hak asasi manusia termasuk menyeru Parlimen dan Badan Eksekutif agar menggubal undang-undang FOI yang memenuhi piawaian antarabangsa serta mengelakkan peruntukan yang lemah dan bersifat retorik semata-mata.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami