MALAYSIA

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 teras pemeliharaan alam sekitar Malaysia

Kabeer Aziz 18/10/2025 | 06:20 MYT
Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAS, Rosli Zul berkongsi peranan Akta 127, sokongan masyarakat dan teknologi dalam memperkukuh penguatkuasaan alam sekitar negara dalam rancangan AWANI Pagi.
KUALA LUMPUR: Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) terus kekal sebagai teras utama dalam usaha negara mengawal selia pencemaran dan memelihara alam sekitar.


Ringkasan AI
  • Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) kekal sebagai undang-undang utama negara dalam mengawal pencemaran dan memelihara alam sekitar, dengan matlamat mencegah, mengawal dan meningkatkan kualiti alam sekitar selari dengan pembangunan negara.
  • Pengarah Penguatkuasa JAS, Rosli Zul menekankan peranan masyarakat sebagai -mata dan telinga- dalam melaporkan aktiviti pencemaran, sambil memaklumkan JAS menerima hampir 13,000 aduan awam sehingga September tahun ini.
  • JAS turut memanfaatkan teknologi seperti dron, pengesan gas mudah alih, sistem AQMS dan aplikasi e-Aduan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta mengenal pasti tren pencemaran secara lebih cekap dan telus.


Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Zul, akta ini bukan sahaja menetapkan garis panduan dan had pelepasan pencemaran, malah menggariskan tanggungjawab semua pihak. Ini bertujuan untuk memastikan pembangunan negara sentiasa selari dengan pemeliharaan alam sekitar.

"Akta 127 adalah merupakan undang-undang penting di Malaysia yang mengawal selia pencemaran dan menguruskan alam sekitar. Matlamat utamanya adalah untuk mencegah, mengawal, dan menghapuskan pencemaran, serta meningkatkan kualiti alam sekitar,” jelas beliau dalam temu bual eksklusif bersama AWANI Pagi.

Selain penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, katanya peranan masyarakat turut menjadi elemen penting dalam memastikan akta ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau juga menekankan bahawa masyarakat perlu menjadi “mata dan telinga” kepada JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran yang mencurigakan.

“Tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang prihatin termasuk mengamalkan gaya hidup lestari, seperti mengurangkan penggunaan plastik, kitar semula, dan menjimatkan tenaga.

"Sehingga September tahun ini, JAS telah menerima hampir 13,000 aduan daripada orang awam, ini menunjukkan tahap keprihatinan yang semakin meningkat di kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam era teknologi yang semakin berkembang, JAS turut memanfaatkan pelbagai inovasi untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, dan antara teknologi yang digunakan adalah:

• Dron bagi tujuan pemantuan;
• Peralatan pengesan gas mudah alih;
• Aplikasi Sistem Pengawasan Kualiti Udara (AQMS)
• Aplikasi Sistem e-Aduan JAS yang membolehkan orang ramai melapor insiden pencemaran secara dalam talian.

Beliau berkata: “Integrasi data dan analisis pintar membantu pegawai mengenal pasti tren pencemaran dan bertindak lebih pantas. Teknologi kini memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan tindakan yang diambil lebih cekap dan telus,” ujar beliau.






#Jabatan Alam Sekitar #AKAS 1974 #Akta 127 #kelestarian alam