Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang menggubal rang undang undang bagi meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bertujuan membendung masalah pencemaran alam sekitar di negara ini dengan lebih berkesan.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata rang undang-undang itu kini dalam proses draf pertama dan dijangka siap hujung tahun ini.

Draf itu akan diserahkan kementerian itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses semakan dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

"Kita perlu buat pindaan semula kerana kita tidak boleh membiarkan perkara yang mencemarkan alam sekitar ini walaupun tidak sengaja dibuat oleh pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Ahad.

Sementara itu, mengulas isu pembuangan sisa kimia ke kolam takungan berhampiran pangsapuri Taman Seri Jati Di Taman Balakong Jaya 2, Selangor, Wan Junaidi berkata pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pendakwa Raya.

Katanya, laporan awal siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, syarikat Nobel Synthetic Polymer yang membuat sarung tangan itu mengalami masalah kebocoran pada mesinnya.

Masalah itu telah mengakibatkan berlakunya pencemaran bahan kimia yang menjejaskan penduduk di sekitar kawasan terbabit.

Wan Junaidi berkata JAS dan pengusaha kilang syarikat itu sudah melakukan pembersihan di kawasan pencemaran berkenaan bermula pada Sabtu.