KUALA LUMPUR: Satu akta khusus untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak yang menjadi kesinambungan kepada pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dengan adanya akta itu nanti, maka Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang ditempatkan di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Sujakam) akan menerajui Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak secara bebas.

"Isu-isu hak asasi manusia merupakan suatu perkara yang merentasi, dengan izin, cross-cutting di antara satu agensi dengan agensi lain. Justeru itu, penyelarasan yang bersepadu perlu dibuat dalam kalangan semua kementerian, jabatan, agensi bagi memastikan semua isu hak asasi manusia di Malaysia akan dapat ditangani sepenuhnya.

"Sesungguhnya, Kerajaan ini akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan hak asasi manusia ke arah tiada siapa tertinggal," katanya katanya ketika membentangkan RUU Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Azalina memberitahu, kerajaan juga sedang memuktamadkan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh yang meliputi pemberian kewarganegaraan melalui penguatkuasaan undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

"Saya juga menghargai kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memahami kompleksiti isu perundangan yang terlibat dalam perkara ini dan terus memberikan sokongan yang sewajarnya terhadap usaha kerajaan dalam menyelesaikannya mengikut proses undang-undang yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, pelbagai reformasi akan turut diketengahkan termasuk cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2011 (Akta 711) dan penubuhan Ombudsman Malaysia melalui penggubalan satu akta khusus dalam masa terdekat.