MALAYSIA

Aktivis Global Sumud Nusantara berlepas dari Istanbul, dijangka tiba tanah air malam ini

Hilal Azmi 06/10/2025 | 23:20 MYT
Usaha membawa pulang kumpulan aktivis ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Duta Besar Malaysia ke Turkiye dan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul yang memainkan peranan penting di lapangan. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI
ISTANBUL: Kesemua aktivis dan peserta Global Sumud Nusantara kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas melalui proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan yang padat di sini.

Usaha membawa pulang kumpulan aktivis ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Amiri Bakar yang memainkan peranan penting di lapangan bagi memastikan kelancaran urusan mereka.

Walaupun penat selepas beberapa hari melalui proses pentadbiran dan perjalanan yang panjang, semua aktivis dilihat bersemangat dan bersyukur dapat kembali ke tanah air.

Semangat mereka kekal tinggi, mencerminkan keteguhan dan kesungguhan dalam memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin.

Rombongan ini dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam ini (7 Oktober).

Misi Global Sumud Nusantara telah menarik perhatian dunia sebagai lambang solidariti masyarakat sivil antarabangsa terhadap perjuangan Palestin, dengan penyertaan rakyat Malaysia membuktikan komitmen negara terhadap nilai kemanusiaan sejagat.



#Global Sumud Nusantara #aktivis Malaysia #Israel tahan aktivis Malaysia #misi GSF