Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memantau penularan ajaran sesat di negeri ini, termasuk di lokasi berkaitan sejarah penyebaran ajaran songsang Ayah Pin di Besut.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda berkata, pihaknya bersama pihak berkuasa sentiasa melakukan pemantauan bagi mengekang ia daripada menular.

Menurutnya, setakat ini, aktiviti ajaran sesat di negeri Terengganu tidak serius dan masih terkawal.

"Sekarang ini, ajaran sesat yang berlaku, khususnya ajaran Syiah di Terengganu ini, Alhamdulillah masih dalam kawalan. Dan kita memantau dari masa ke semasa.

"Keduanya, ajaran sesat yang berlaku di Dungun, telah dibanteras, dapat dibendung, tidak ada dilaksanakan lagi. Kita sudah kaunseling mereka yang terlibat. Sudah baik pulih. Tiada lagi ajaran sesat ini," katanya.

Osman berkata, setakat ini hanya satu kes ajaran sesat yang telah terbukti berlaku di Dungun, pada Mac lalu.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti terbabit supaya tampil melaporkan kepada pihak berkuasa.

BACA: Sebar ajaran meragukan, 'Raja Bunian' bakal didakwa

Beliau dipercayai merujuk kepada kes seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'raja bunian' dan disyaki menjalankan aktiviti ajaran Islam yang meragukan di Dungun.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail sebelum ini berkata, suspek akan didakwa pada 28 Julai ini mengikut Seksyen 6 Akta Syariah Jenayah Takzir Terengganu 2001.