Skip to main content

Malaysia

Aktiviti ekonomi terus diperkasa bagi menjamin peluang pekerjaan - Akmal Nasrullah

JOHOR BAHRU, 30 Mei -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru 2026 di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru 2026 di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini, hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Kerajaan menumpukan usaha memastikan aktiviti ekonomi kekal rancak bagi memelihara peluang pekerjaan rakyat ketika berdepan krisis bekalan global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kelangsungan bekalan, khususnya minyak negara berada pada tahap mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi.

"Fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan ekonomi terus bergerak supaya peluang pekerjaan dapat dikekalkan. Dalam dua hingga tiga bulan pertama krisis, antara isu utama perlu ditangani ialah berkaitan bekalan.

"Sebab itu kerajaan telah mengambil langkah memastikan bekalan minyak negara mencukupi, selaras dengan jaminan yang diumumkan bahawa bekalan minyak negara adalah mencukupi hingga penghujung Julai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan dalam menangani isu pekerjaan dan pengangguran susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Akmal Nasrullah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan beberapa langkah perlindungan pekerja bersempena dengan Hari Pekerja, termasuk  peruntukan di bawah Skim Perlindungan Insurans Pekerja (SIP) bagi membantu pekerja yang terjejas sekiranya kesan krisis mula dirasai.

Menurutnya, gangguan terhadap bekalan tenaga dan input pengeluaran boleh memberi kesan langsung kepada sektor industri, termasuk memperlahankan operasi serta menjejaskan pendapatan pekerja.

"Kalau berlaku kekurangan bekalan, pihak industri mungkin terpaksa memperlahankan pengeluaran atau menutup barisan pengeluaran, dan ini akan menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas. Sebab itu fokus ketika ini adalah memastikan bekalan mencukupi," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut mengadakan libat urus dengan pihak industri serta perbincangan bersama negara luar bagi memastikan rantaian bekalan terus terjamin.

Menurutnya, lawatan Perdana Menteri ke Jepun dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi, akan dimanfaatkan untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan bekalan strategik yang dikenal pasti Kementerian Ekonomi.

Mengulas perkembangan geopolitik di Asia Barat, Akmal  Nasrullah  berkata ketidaktentuan masih berterusan walaupun terdapat petunjuk penurunan harga minyak di pasaran global.

"Ini menunjukkan apa yang berlaku dalam tempoh seminggu lepas memberi kesan positif kepada pergerakan harga minyak. Untuk mengatakan perkara ini sudah selesai, kita masih menantikan perkembangan yang berlaku di Asia Barat. Walaupun dijangka ada sedikit lagi penurunan harga minyak minggu ini, keadaan masih lagi tidak menentu atau volatile," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement