Aktiviti hiburan catat kesalahan tertinggi semalam - Ismail Sabri

Astro Awani
Mac 4, 2021 15:40 MYT
Kesalahan berulang itu menjadi antara sebab mengapa kerajaan meningkatkan hukuman kepada mereka yang ingkar SOP. - Gambar fail PDRM
KUALA LUMPUR: Aktiviti hiburan merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan polis pada Rabu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan berulang itu menjadi antara sebab mengapa kerajaan meningkatkan hukuman kepada mereka yang ingkar SOP.
"Ini kesalahan yang berulang-ulang, tidak peduli dengan apa yang dilaksanakan oleh pihak polis.
"Penganjur kelab malam tersebut, kalau setakat bayar RM1,000, mereka tidak peduli kerana keuntungan yang mereka dapat apabila membuka kelab malam secara haram ini, mungkin berpuluh ribu ringgit satu malam.
"Kalau setakat RM1,000, tidak mendatangkan apa-apa kesan. Jadi sebab itu kita tingkatkan hukuman kepada syarikat sehingga RM50,000 untuk satu kesalahan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jelasnya, pada Rabu, sejumlah 499 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP di mana daripada jumlah itu, 492 telah dikompaun manakala empat direman dan tiga lagi dijamin.
#ismail sabri yaakob #pusat hiburan #Aktiviti hiburan #kelab malam #PKP #perintah kawalan pergerakan