MALAYSIA

Aktiviti LGBT: Sultan Selangor bantah, titah tindakan tegas

Astro Awani 12/01/2026 | 11:23 MYT
Baginda bertitah, perbuatan sedemikian boleh mengundang kemurkaan serta laknat ke atas negeri itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan bantahan keras terhadap sebarang penganjuran aktiviti songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin dan Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir, Sultan Sharafuddin menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Baginda menegaskan, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu, ia boleh mengundang kemurkaan serta laknat ke atas negeri itu.

Baginda turut tidak berkenan dengan sebarang penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Selangor, termasuk penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengannya.

Sehubungan itu, MAIS dan Mufti Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program berkaitan.

"Sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada akidah umat Islam. Ini kerana mereka menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh agama Islam.

“Komitmen semua pihak dituntut dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan Selangor kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan Salehuddin dan Anhar menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian tegas baginda berhubung dengan penganjuran “Glamping with Pride” yang sepatutnya diadakan pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat, Selangor dan dipercayai dikaitkan dengan komuniti LGBT.


#MAIS #Islam #LGBT #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Glamping With Pride