Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu ditutup selama 3 minggu

Bernama
Jun 6, 2015 07:43 MYT
Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu ditutup selama tiga minggu mulai hari ini berikutan kejadian gempa bumi semalam.
Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu ditutup selama tiga minggu mulai hari ini berikutan kejadian gempa bumi semalam, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata langkah itu berikutan laluan pendakian untuk ke puncak gunung terjejas teruk kesan daripada gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada 7.05 pagi semalam.
"Laluan menjadi terlalu merbahaya buat pendaki. Malah kemudahan di puncak gunung musnah teruk," katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Operasi Taman Kinabalu di sini hari ini.
Katanya seramai 137 pendaki selamat dibawa turun ke Taman Kinabalu kira-kira 2.50 pagi tadi.
Sehingga kini seramai 173 daripada 187 pendaki telah dibawa turun.
Masidi berkata aktiviti pendakian dijangka dibuka semula setelah kerja pembaikan laluan dan kemudahan selesai dilakukan.
Bagaimanapun perkhidmatan hotel, chalet dan restoran yang terletak di Taman Kinabalu beroperasi seperti biasa.
#Gunung Kinabalu #Masidi Manjun #Ranau