PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan di sebuah premis di Sungai Besar, Selangor dalam satu serbuan pada 5 Mac lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata premis terbabit disyaki menjadi stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan dan pasukan penguat kuasa telah menyita sejumlah 24,875 liter minyak diesel dan peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM187,350 dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan melibatkan penyelewengan diesel boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Tiga lelaki rakyat tempatan berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun yang disyaki wakil pemilik premis, pemandu kenderaan dan penjaga premis ditahan.

"Serbuan ini dibuat hasil risikan dan disyaki sindiket berkenaan telah beroperasi dalam tempoh lama dan melibatkan penyelewengan subsidi diesel nelayan pada skala yang besar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Op Tiris, beliau berkata KPDN akan mengemukakan laporan dan syor hasil dapatan yangdiperoleh sepanjang pelaksanaan operasi kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai pengukuhan mekanisme kawalan pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan.

"Laporan dan syor ini merupakan penemuan penting yang diperoleh sepanjang pelaksanaan Op Tiris 1.0 dan Op Tiris 2.0 yang bermula pada 1 Mac 2023 dan diteruskan pelaksanaannya sehingga kini melalui Op Tiris 3.0," katanya.

Pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan merupakan fokus penguatkuasaan dalam menangani ketirisan subsidi diesel.

Ia melibatkan risiko ketirisan dengan penjualan diesel bersubsidi kepada sektor industri yang tidak berkelayakan dan penyeludupan kepada nelayan asing, justeru KPDN akan memperkukuh kerjasama dengan KPKM dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Op Tiris 3.0 bermula 1 Jan 2024 hingga 6 Mac lepas, Armizan berkata sejumlah 9,093 premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 245 kertas siasatan dibuka.

Hasil tindakan berjaya menyita 2.264 juta liter subsidi diesel bernilai RM5.39 juta dan dalam tempoh sama, nilai rampasan yang melibatkan lain-lain peralatan, kenderaan dan sebagainya adalah lebih RM12 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan di bawah Op Tiris 3.0 bagi kes melibatkan diesel lebih RM17 juta.

-- BERNAMA