KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara.

Ia merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran terakhir yang disempurnakan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong, setelah bersemayam sejak lima tahun lepas.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang memakai persalinan rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu Muskat, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kelihatan anggun dalam persalinan berwarna kuning air.

Perdana Menteri dan isteri kemudiannya mengiringi Seri Paduka berdua ke Peterana Diraja, bagi menerima Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Istana Negara.

Serentak dengan itu, lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan selesai pemeriksaan, Seri Paduka sekali lagi menerima Hormat Diraja sebelum lagu Negaraku berkumandang.

Pasangan diraja itu kemudiannya diiringi perdana menteri dan isteri, berangkat meninggalkan Peterana Diraja bagi meneruskan atur cara Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023.

Selain tetamu jemputan yang hadir di Istana Negara, istiadat berkenaan juga disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara.

Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan 2019.

-- BERNAMA