KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kewujudan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang akan menjadi pusat pentadbiran baharu kerajaan Pahang merupakan cetusan Seri Paduka sendiri.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda telah menyembah maklum kepada ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah, mencadangkan sebuah pusat pentadbiran baharu dibina sekitar hujung 2014 atau awal 2015, kerana merasakan terdapat keperluan menggantikan pusat pentadbiran sedia ada Wisma Sri Pahang di tengah bandar.

"Wisma Sri Pahang sudah begitu lama sekali, sudah dekat 50 tahun usianya dan mempunyai masalah maintenance (selenggaraan)... seterusnya saya memikirkan pusat pentadbiran baru seharusnya ditempatkan di kawasan KotaSAS kerana saya memikirkan sudah sampai masanya bandar Kuantan diperbesarkan.

"(Ini) supaya kita boleh luaskan atau diversify penduduk, dan lebih penting ialah lalu lintas di Kuantan semakin hari semakin sesak dan mudah-mudahan dengan terbinanya bandar baru seperti KotaSAS boleh menggurangkan tekanan kesesakan di bandar Kuantan," titah Seri Paduka semasa menyempurnakan Majlis Perasmian PPSAS di sini hari ini.

Turut berangkat ialah paduka-paduka anakanda Seri Paduka. Turut hadir ialah barisan pentadbiran negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang termasuk daripada pembangkang.

Cadangan itu, menurut Seri Paduka kemudiannya dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang pada 2016 oleh pasukan KotaSAS bagi tujuan kelulusan sebelum kerja pembinaan bermula dua tahun kemudian, namun dihentikan seketika akibat pandemik COVID-19.

"Saya perlu nyatakan konsep pembinaan bangunan ini (PPSAS) lain dari lain sebab saya berkehendakkan konsep yang lebih ultra moden dengan mengambil kira tentang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Mudah-mudahan bangunan ini akan menjadi ikonik untuk (orang awam) datang dan lihat sendiri serta mengambil gambar," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda turut berkenan menzahirkan perancangan jangka panjang KotaSAS, antaranya pembinaan sebuah masjid bertaraf tinggi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan sebuah kompleks institusi ilmu yang merangkumi pelbagai cabang dalam ilmu Islam selain akan mempunyai stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Masjid dibina dengan usaha saya dan turut ditaja Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan. Ini adalah usaha saya bersama baginda, kerana silaturahim kami begitu lama, sejak 40 tahun lepas, dan baginda menyatakan hasrat hendak menyumbang sebuah masjid di KotaSAS," titah Seri Paduka yang turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UAE itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan 'menyingkap' sedikit sejarah pentadbiran Pahang termasuk pembinaan Wisma Sri Pahang yang bermula 1970 cetusan ilham nenda Seri Paduka, Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan dirasmikan ayahanda Seri Paduka enam tahun kemudian.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menzahirkan terima kasih kepada semua 15 Menteri Besar Pahang dan 22 Setiausaha Kerajaan Negeri kerana melaksanakan tugas dan amanah mentadbir negeri.

-- BERNAMA