Orang ramai disaran mendapatkan nasihat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam membuat pemilihan dan pemasangan alat penggera pengesan asap.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata alat tersebut tidak akan berfungsi dengan berkesan sekiranya ia tidak dipasang dan diselenggara dengan sempurna.

Malah, beliau menegaskan setiap alat penggera pengesan asap itu perlu mempunyai sijil Standard Malaysia yang diperakui JBPM.

"Sekiranya hendak pasang di kediaman masing-masing, pastikan pemasangan itu dibuat di tempat strategik dan mempunyai risiko sumber api seperti di bilik tidur, ruang tamu, kawasan yang mempunyai barangan elektronik, televisyen, komputer dan sebagainya.

"Pemasangan itu juga termasuk di dapur yang menempatkan gelombang mikro, peti sejuk dan perkakas elektronik yang mudah panas.

"Jangan letak di tempat laluan yang tidak ada risiko kebakaran kerana kesannya tidak ketara di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Tambah Soiman, tahap kesedaran dalam kalangan pemilik rumah mahupun ketua keluarga berkenaan pemasangan alat tersebut masih lagi rendah.

"Saya dapati kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia masih agak rendah berkenaan pemasangan alat penggera pengesan asap.

"Oleh itu, JBPM telah buat pelbagai kempen kesedaran untuk pemasangan alat ini di rumah masing-masing.

"Malah, sistem penggera pengesan asap ini menjadi salah satu syarat kepada projek-projek perumahan baharu," ujarnya.

Selain itu, beliau mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama pemimpin-pemimpin masyarakat telribat secara langsung dalam aktiviti kesedaran bagi mengelak peningkatan statistik kematian ketika tidur.

Mengikut statistik JBPM, kira-kira 95 peratus daripada 122 mangsa yang maut semasa kebakaran di seluruh Malaysia dalam tempoh Januari hingga 16 Nov tahun ini, merupakan mangsa yang meninggal dunia ketika tidur.

"Kebanyakan penghuni yang maut dalam kebakaran ialah pada pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi yang mana ketika itu mangsa sedang nyenyak tidur," katanya.