Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Aliff Syukri menangis dibebaskan kes lagu raya kontroversi

Sinar Harian 27/08/2025 | 05:00 MYT
Aliff Syukri dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Sepang berhubung empat pertuduhan memuat naik video lagu raya kontroversi 'Kelepuk Raya' pada 2022. -Sinar Harian
SEPANG: Penyanyi lagu raya kontroversi ‘Kelepuk Raya’, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu berhubung empat kes memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri hampir tiga tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen Sepang melepas dan membebaskan Aliff Syukri daripada empat pertuduhan memuat naik video lagu raya Kelepuk Raya yang didakwa bersifat sumbang pada April 2022.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun tiada sabitan dikenakan selepas pendakwaan dikendalikan oleh SKMM.
  • Video tersebut sebelum ini menerima kecaman kerana aksi penari lelaki yang dianggap mencemari sambutan Aidilfitri dan dikaitkan dengan isu LGBT.


Mengikut empat pertuduhan, Aliff Syukri didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram ‘aliffsyukriterlajaklaris’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dikesan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada 24 April tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Faten Hadni Khairuddin.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang berunsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat, sebaliknya menerima cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki berkenaan.

Bukan itu sahaja, ada pihak menyifatkan tarian dalam video muzik tersebut sebagai usaha halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini. -Sinar Harian




#Aliff Syukri #Kelepuk Raya #dilepas dan dibebaskan #Mahkamah Sesyen Sepang