MALAYSIA

Aliran trafik bergerak perlahan seluruh negara, menjelang ambang tahun baharu

Astro Awani 31/12/2025 | 09:27 MYT
Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan kesesakan dikesan di beberapa lebuh raya utama sekitar ibu negara, selain aliran trafik perlahan di laluan antara negeri - Sumber Foto/LLM
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di seluruh negara, khususnya laluan berhampiran ibu negara, dilaporkan bergerak perlahan setakat jam 3.09 petang hari ini berikutan peningkatan pergerakan kenderaan sempena ambang Tahun Baharu.

Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kesesakan dikesan di beberapa lebuh raya utama sekitar ibu negara, selain aliran trafik perlahan di laluan antara negeri.

Di sekitar Lembah Klang, trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 dari Bukit Lanjan ke Damansara arah selatan.

Di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) E5 pula, aliran trafik perlahan berlaku arah timur dari Kota Kemuning ke Seafield serta dari Plaza Tol Sunway ke Kinrara.

Bagi Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) E6, trafik perlahan dilaporkan arah utara dari Putrajaya ke Putra Heights, manakala arah selatan dari Shah Alam ke Ebor serta dari USJ ke Putra Heights.

Di Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) E11, trafik perlahan dikesan arah utara dari Puchong Utama ke Puchong Intan, Puchong Industri ke Puchong Jaya serta Kelana Jaya ke Damansara Utama.

Bagi arah selatan, kesesakan berlaku dari Penchala ke Kelana Jaya dan dari Plaza Tol PJS ke Puchong Industri.

Selain itu, trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya SPRINT E23 arah timur dari Plaza Tol NKVE Damansara ke Kayu Ara, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 dari IOI City Mall dan Persiaran Utara ke UNITEN, serta Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) E33 dari Jalan Duta ke Sentul.

Di luar ibu negara, aliran trafik perlahan dikesan di Lebuhraya Utara–Selatan (LUS) E1 arah selatan dari Jitra ke Kepala Batas susulan kerja penyelenggaraan di Kilometer 265.8 hingga 263.8 yang melibatkan penutupan lorong kecemasan dan lorong kiri.

Sementara itu, di Lebuhraya Utara–Selatan (LUS) E2, trafik perlahan dilaporkan dari Kempas ke Pasir Gudang di kedua-dua arah.

Bagi arah utara, kesesakan berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar, manakala arah selatan dari Kulai ke Senai.

Di Tambak Johor E2, trafik bergerak perlahan dari Johor Bahru ke Woodlands di kedua-dua arah.

LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan dengan teliti, berwaspada terhadap sebarang halangan, menjaga jarak selamat serta mematuhi had laju yang ditetapkan. Pemandu juga diingatkan memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.






#Aliran trafik negara #tahun 2026 #kesesakan lalu lintas