[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Aliran trafik di lebuh raya utama lancar setakat 9 pagi ini

Bernama 06/04/2025 | 01:50 MYT
Beberapa laluan Smartlane diaktifkan di Lebuhraya PLUS bagi melancarkan perjalanan pulang ke ibu kota selepas cuti panjang sempena Aidilfitri. - Gambar hiasan/PLUS
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menuju ibu negara lancar setakat 9 pagi ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bergerak perlahan dari Bentong Barat ke Lentang serta selepas Plaza Tol Bentong, susulan pertambahan jumlah kenderaan.
"Bagi lebuh raya utama lain seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan E1 dan E2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 di kedua-dua arah, kesemuanya masih lancar dan terkawal," katanya kepada Bernama.
Akaun rasmi X PLUS Trafik pula memaklumkan terdapat beberapa laluan Smartlane sudah diaktifkan bagi melancarkan perjalanan pulang ke ibu kota selepas cuti panjang sempena Aidilfitri.
Smartlane berkenaan antaranya di PLUS Kilometer (KM) 367.3 hingga KM354.0 arah utara laluan antara Slim River ke Sungkai, KM439.3 hingga KM435.5 arah utara dari Rawang ke Sungai Buaya dan KM437.1 hingga KM443.3 arah selatan laluan antara Sungai Buaya ke Rawang.
Sementara itu di Kelantan, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata aliran trafik membabitkan jalan Persekutuan di jajahan Gua Musang bergerak perlahan sepanjang tujuh kilometer setakat 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata aliran trafik di jalan keluar masuk di sempadan Pasir Puteh-Terengganu termasuk di pintu masuk Tok Bali-Kuala Besut pagi ini lancar.
-- BERNAMA
#aliran trafik #Aidilfitri #Lebuhraya Utara Selatan #Lebuhraya Pantai Timur