KUALA LUMPUR: Aliran trafik di semua lebuh raya utama negara dilaporkan lancar setakat 10 pagi ini, namun jumlah kenderaan dijangka mula meningkat selepas tengah hari.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, beberapa lokasi ‘hotspot’ seperti Genting Sempah (Kuala Lumpur-Karak), Seremban (E2), serta Slim River, Tapah dan Gopeng (E1) masih belum menunjukkan sebarang kesesakan.
Advertisement
"Setakat ini pergerakan kenderaan masih terkawal, bagaimanapun kita menjangkakan trafik akan mula bertambah selepas waktu tengah hari nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu berkata faktor cuaca turut memainkan peranan penting memandangkan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan yang berpotensi menjejaskan kelancaran aliran trafik.
"Jika kita lihat trend semalam, hujan lebat dari pagi hingga petang telah menyebabkan trafik agak tinggi. Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya memastikan kenderaan dalam keadaan baik, terutama fungsi pengelap cermin dan lampu kenderaan," katanya.
Selain itu, LLM turut mengingatkan pemandu supaya tidak menggunakan lampu kecemasan semasa memandu di dalam hujan bagi mengelak kekeliruan kepada pengguna jalan raya lain.
Orang ramai digesa mematuhi had laju yang ditetapkan dan sentiasa mengawasi jarak selamat kenderaan masing-masing sepanjang perjalanan.
Pengguna turut digalakkan merancang perjalanan dengan merujuk jadual waktu perjalanan (TTA) melalui aplikasi MyPLUS-TTA, selain mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
-- BERNAMA