Aliran trafik mula perlahan di lebuh raya utama

Astro Awani
April 23, 2023 09:57 MYT
Aliran trafik dilaporkan mula bergerak perlahan di kebanyakan lebuh raya utama berikutan orang ramai mula pulang selepas perayaan Aidilfitri hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aliran trafik dilaporkan mula bergerak perlahan di kebanyakan lebuh raya utama berikutan orang ramai mula pulang selepas perayaan Aidilfitri hari ini.
Jurucakap dari Pusat Pemantauan PLUS memaklumkan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan bergerak perlahan di beberapa lokasi.
"Di Utara, lalu lintas bergerak perlahan-lahan dari Kepala Batas ke Hutan Kampung, Alor Setar Selatan ke Alor Setar Utara (arah utara), Alor Setar Selatan ke Pendang (arah selatan), Gurun ke Pendang, Sungai Petani Utara ke Gurun, dan Sungai Dua ke Bertam.
"Keadaan lalu lintas juga bergerak perlahan dari Juru ke Bandar Cassia di kedua hala, Bandar Baharu ke Jawi, Kuala Kangsar ke Changkat Jering, Ipoh Utara ke Terowong Menora, dan Terowong Menora ke kawasan rehat Sungai Perak," lapor portal The Star.
Manakala keadaan lalu lintas bergerak perlahan dari Rawang Selatan ke Sungai Buaya, Lembah Beringin ke Tanjung Malim dan Slim River ke Sungkai (kawasan sempadan).
"Di bahagian selatan lebuh raya, lalu lintas bergerak perlahan dari Nilai ke Senawang, Bukit Gambir ke Pagoh, Yong Peng ke Ayer Hitam, Machap ke Ayer Hitam, Senai ke Kulai, Kulai ke Sedenak dan Sedenak ke Kulai," katanya.
Sementara itu, akaun Twitter rasmi Lebuhraya Pantai Timur, lalu lintas bergerak perlahan ke plaza tol Gombak manakala kesesakan sepanjang 4.9 km juga dilaporkan dari plaza tol Gombak ke arah barat.
#PLUS #Lebuhraya Utara-Selatan #Terowong Menora #kesesakan lalu lintas