Aliran trafik terkawal, kenderaan dijangka meningkat petang ini

Bernama
Jun 22, 2017 06:29 MYT
Aliran trafik dijangka meningkat pada sebelah petang berikutan pertambahan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Aidilfitri. - Gambar fail
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara masih lancar dan terkawal setakat 12 tengah hari ini.
Bagaimanapun, jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata aliran trafik dijangka meningkat pada sebelah petang berikutan pertambahan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Aidilfitri.
"Aliran trafik ke arah utara serta selatan masih lagi lancar dan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada Ahad ini.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur juga lancar dan terkawal.
"Aliran trafik bagi Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 masih lancar di kedua-dua arah," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #Islam #Malaysia #Pantai Timur #PLUS #tol #Twitter