KUALA LUMPUR: Keperibadian bekas Yang di-Pertua Negeri yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai individu yang bukan sahaja komited mengubah dirinya malah seluruh warga Sarawak.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Jeniri Amir berkata, Allahyarham sanggup terbang ke luar negara untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman untuk menaik taraf negeri Sarawak.

“Di sebalik pelbagai kaum di Sarawak, keupayaan beliau menstabilkan politik Sarawak, menyatupadukan pelbagai kaum dan memastikan rakyat Sarawak meningkat dari segi ekonomi mereka,” katanya mengenai dedikasi Allahyarham Abdul Taib dalam perkongsian dengan Buletin Awani pada Rabu.

Menurut Jeniri, nama Abdul Taib akan terus diingat kerana jasa Allahyarham yang cukup signifikan dalam pembangunan ekonomi di Sarawak.

Dalam masa sama, kata beliau, kejayaan Allahyarham harus dijadikan suri tauladan buat generasi muda terutama dalam hal-hal berkaitan pendidikan, kewangan, ekonomi dan sebagainya.