[TERKINI] Hamas Serah 7 Tebusan Israel kepada ICRC di Gaza – Fasa Pertama Gencatan Senjata Bermula
MALAYSIA

Allahyarham Datuk Usman Awang dianugerahkan Tokoh Mengukir Bangsa (Penyair Tersohor)

Kenyataan Media 13/10/2025 | 03:30 MYT
Allahyarham Datuk Usman Awang dianugerahkan Anugerah Tokoh Mengukir Bangsa (Penyair Tersohor).
Sempena Bulan Dekad Kebangsaan, Malam Puisi Mengukir Bangsa telah berlangsung sebagai sebuah acara berprestij yang mengangkat martabat puisi sebagai seni warisan budaya bangsa serta medium penyatuan rakyat berbilang kaum. Majlis ini diadakan selepas Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (SAABM 2025) yang berlangsung pada hari yang sama.


Ringkasan AI
  • Malam Puisi Mengukir Bangsa sempena Bulan Dekad Kebangsaan diadakan sebagai acara berprestij yang mengangkat puisi sebagai seni warisan budaya dan medium penyatuan rakyat pelbagai kaum, berlangsung selepas Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (SAABM 2025).
  • Anugerah Tokoh Mengukir Bangsa dianugerahkan kepada Allahyarham Datuk Usman Awang (Penyair Tersohor), Prof. Ir. Ts. Mohamed Thariq Hameed Sultan (Penulisan dan Penerbitan), dan Prof. Madya Ts. Jessica Ong Hai Liaw (Bahasa dan Perpaduan), disampaikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
  • Program bertemakan -Bahasa Melayu Mengangkat ASEAN- dianjurkan oleh PABMM bersama rakan kerjasama serantau, manakala SAABM 2025 bertujuan memperkasa Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui forum ilmiah dan pembentangan kertas kerja oleh tokoh akademik.


Anugerah tertinggi malam tersebut, Tokoh Mengukir Bangsa (Penyair Tersohor), telah dianugerahkan kepada Allahyarham Datuk Usman Awang. Anugerah tersebut diterima oleh anak beliau, Haslina Usman, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuangkan puisi yang membina jiwa bangsa, menyemai kasih sesama insan, serta menyatukan rakyat Malaysia melalui keindahan bahasa dan nilai kemanusiaan sejagat.

Turut menerima pengiktirafan pada Malam Puisi Mengukir Bangsa ialah:

• Prof. Ir. Ts. Mohamed Thariq Hameed Sultan, Pengarah Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), penerima Tokoh Mengukir Bangsa (Penulisan dan Penerbitan) atas sumbangan beliau dalam memperkukuh bidang penulisan dan penerbitan ilmiah Bahasa Melayu berindeks Scopus.

• Prof. Madya Ts. Jessica Ong Hai Liaw, dari Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), penerima Tokoh Mengukir Bangsa (Bahasa dan Perpaduan) atas usaha berterusan beliau memperkasa komunikasi insani dan perpaduan nasional melalui bahasa, seni dan pendidikan.

Anugerah-anugerah tersebut telah disampaikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Kesembilan, dalam satu majlis penuh penghargaan terhadap bahasa, seni dan budaya yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Program bertemakan “Bahasa Melayu Mengangkat ASEAN” ini dianjurkan oleh Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM) dengan kerjasama Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK), Asia Lecturers and Teachers Community (ALTC) Indonesia, Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Rajamangala University of Technology (RMUTT) Thailand, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press), serta Pejabat Perdana Menteri Kesembilan.

Matlamat utama Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM 2025) ialah untuk menyahut seruan memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja dalam konteks kebangsaan, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa. Simposium ini menampilkan ucaptama, forum ilmiah serta pembentangan kertas kerja oleh tokoh akademik tempatan dan antarabangsa, dengan hasrat menghasilkan resolusi ilmiah demi masa depan bahasa, perpaduan dan budaya serantau.



Sekretariat SAABM dan MPMB 2025




#Usman Awang #Tokoh Mengukir Bangsa #Penyair Tersohor #Malam Puisi Mengukir Bangsa