Jenazah Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam keadaan banjir di Missouri, Amerika Syarikat (AS) akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Air Batu Masjid Tanah, selepas Asar.

Segala proses menggali liang lahad diuruskan pada awal pagi Rabu oleh anggota dan pegawai tentera dari Kem Terendak Sungai Udang.

Panglima Markas 3 Divisyen Kem Terendak, Mejar General Datuk Wira Zamrose Mohd Zain dari Kem Sungai Udang sempat meninjau persiapan terakhir yang dibuat bagi memastikan proses pengebumian berjalan dengan lancar.

Solat jenazah dilakukan di surau Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah berhampiran kediaman keluarga Allahyarham.

Jenazah Hasman tiba di Kompleks Kargo MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New York, AS, kira-kira jam 1.18 tengah hari tadi.

Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Oktober lepas dilaporkan hilang pada 26 Disember apabila kenderaan yang dinaiki bersama empat rakan tentera dari negara lain dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa rakan-rakannya.

Markas tentera darat mengesahkan mayat Allahyarham ditemui pada 11 pagi 28 Disember waktu tempatan (1 pagi, 29 Disember waktu Malaysia).