SUNGAI PETANI: Sebagai menghargai khidmat dan pengorbanan Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa kepada negara, Tentera Darat Malaysia (TDM) menganugerahkan kenaikan pangkat Koperal secara 'posthumous' kepada arwah dengan serta-merta.

Pengumuman berkenaan dibuat Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain selepas istiadat pengebumian Allahyarham Mohamad Azrin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, di sini pada Khamis.

"Kemalangan yang menimpa Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa ini merupakan satu kehilangan besar buat negara, pemergiannya sudah pasti akan amat dirasai bukan sahaja oleh keluarga bahkan rakan seperjuangan Allahyarham,

"(Sehubungan itu) sebagai menghargai khidmat bakti Allahyarham, Tentera Darat Malaysia menzahirkan pengangerahan secara "Posthumous" dan Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin bin Mohamad Isa dengan ini dinaikkan ke pangkat Koperal," kata Zamrose.

Menurut beliau, TDM turut menzahirkan ucapan takziah kepada isteri Mohamad Azrin, Nor Aqila Shafiqa Safuan, 22, serta ahli keluarga yang lain atas pemergian Allahyarham yang dianggap kehilangan besar buat negara.


BACA: Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Azrin

BACA: Mayat tentera lemas ketika latihan di Bera ditemui

Zamrose turut memaklumkan bantuan kepada waris Allahyarham Mohamad Azrin akan diberikan berdasarkan peraturan-peraturan angkatan tetap seperti pencen, ganjaran dan faedah-faedah lain.

Pemberian faedah kelayakan kematian itu akan dianugerahkan kepada balu dan anak serta ibu atau bapa mengambil kira jumlah perkhidmatannya selama lebih tujuh tahun.

Terdahulu, jenazah anggota Tentera Darat Malaysia dari 10 Briged Kompeni PANDURA (Para) itu yang ditemukan lemas pada Rabu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam sekitar pukul 2 petang Khamis.

Jenazah yang tiba di tanah perkuburan sekitar pukul 1.22 tengah hari disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan termasuk kawalan kehormatan.

Sebelum itu, jenazah Mohamad Azrin disolatkan di Surau Al-Firdaus, Taman Desa Aman, Sungai Petani pada pukul 12.40 tengah hari selepas tiba dari Butterworth, Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Istiadat pengebumian berkenaan melibatkan anggota dari Unit 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Markas Briged Keenam Infantri Malaysia, Kem Lapangan Terbang Tentera Darat, Sungai Petani.

Selain Zamrose, turut hadir pada pengebumian Allahyarham Mohamad Azrin ialah Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Allahyarham Mohamad Azrin, yang merupakan anggota Tinjau dari Pasukan Kompeni PANDURA (Para), dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang Ahad lepas.

Semasa kejadian, Allahyarham sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Mayat mangsa berusia 27 tahun itu, ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, timbul di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.