Allahyarham Tun Taib pemimpin berpengalaman, fokus majukan Sarawak - Musa Aman

Hasimi Muhamad
Februari 21, 2024 10:52 MYT
Allahyarham Tun Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun sekitar jam 4.40 pagi tadi. - Foto FB Musa Aman
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud sebagai seorang pemimpin yang sangat berpengalaman dan fokus untuk memajukan Sarawak.
Dalam satu kenyataan, Musa berkata sebagai pemimpin negeri berjiran, beliau dan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu mempunyai hubungan yang sangat erat khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri untuk memajukan negeri Sabah dan Sarawak.
"Pemergian Tun Abdul Taib merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada rakyat Sarawak bahkan kepada Malaysia keseluruhannya.
"Semasa hayatnya, Tun Abdul Taib telah mencurahkan tenaga dan buah fikiran terhadap pembangunan Sarawak dan memberikan sumbangan besar dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang suku dan kaum di negeri Sarawak khasnya dan negara Malaysia amnya," katanya pada Rabu.
BACA: Belasungkawa: Fakta mengenai Taib Mahmud, tokoh dikenang rakyat Sarawak
Dalam masa sama, Musa dan seluruh keluarga turut menzahirkan ucapan takziah kepada Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan keluarganya atas pemergian Allyarham Tun Abdul Taib.
"Kami berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi orang orang yang beriman dan beramal soleh," tambahnya.
Allahyarham Tun Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun sekitar jam 4.40 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham selamat tiba di Kuching petang tadi selepas berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 1.58 tengah hari.
Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok bermula jam 8 hingga 11.30 pagi.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
#Tun Abdul Taib meninggal dunia #Musa Aman #Toh Puan Raghad Kurdi Taib #ucapan takziah #rakyat Sarawak