PUTRAJAYA: Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) menawarkan untuk membeli empat syarikat konsesi tol di Lembah Klang yang baharu saja diumumkan kadar tol di semua lebuh raya itu tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Empat lebuh raya tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penstrukturan semula itu juga menyaksikan tiada lagi pemegang saham berorientasikan keuntungan dan ia bermakna, pemegang saham tidak akan menerima pulangan dalam bentuk seperti dividen.

“Kerajaan juga akan memastikan ALR perlu menyerap semua kakitangan sedia ada yang berkhidmat di bawah empat konsesi berkaitan. Dengan itu, tiada isu buang kerja berhubung cadangan penstrukturan ini.

“Justeru, status bagi semua pekerja di bawah konsesi ini adalah terjamin. Sudah pasti persoalan para media, apa yang berlaku dengan cadangan sebelum ini kerana kerajaan terdahulu merancang nak ambil alih konsesi ini.

BACA: Tiada kenaikan tol di empat lebuh raya di Lembah Klang - PM

ALR | Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad tawar ambil alih 4 syarikat konsesi tol

“Tapi kerajaan terpaksa bayar dengan jumlah yang besar iaitu lebih RM6 bilion. Kita telah runding keputusan terdahulu dan dengan penstrukturan yang dipersetujui ini, ia tidak akan melibatkan kerajaan bayar apa-apa bayaran kepada syarikat konsesi,” katanya.

Tambah beliau, melalui penstrukturan itu juga, ALR akan meneruskan operasi termasuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di empat lebuhr aya berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kementerian Kerja Raya di sini pada Isnin.

Katanya lagi, kerajaan juga tidak akan mengabaikan obligasi dalam perjanjian konsesi sedia ada kerana ia akan memberi imej negatif kepada pelabur luar negara.

“Apa yang akan berlaku (jika abaikan obligasi) adalah pelaburan dalam negara akan berkurang dan rakyat menghadapi kesukaran.

Kadar Tol | Tiada kenaikan melibatkan 4 lebuh raya

“Penstrukturan ini juga selaras dengan dasar penswastaan yang mana syarikat swasta masih lagi mengendalikan operasi dan menyelenggara lebuh raya berkenaan,” ujarnya.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tiada kenaikan tol di empat lebuh raya itu dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.

Penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan KESAS, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan SMART, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan SPRINT dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan LDP.