Alunan doa Yasin detik syahdu sebelum Ustazah Halimah rebah, meninggal dunia

Adie Sufian Zulkefli
Mei 10, 2016 13:04 MYT
Halimah Ramli, rebah sewaktu mengalunkan bacaan doa Yasin sekitar pukul 12.15 tengah hari Sabtu lalu.
Seorang guru Al-Quran meninggal dunia ketika menyertai Pertandingan Hafazan Doa Yasin sempena program Israk Mikraj di Surau Al-Hikmah, Kampung Kemboja, di sini.
Halimah Ramli, berusia dalam lingkungan 50an, rebah sewaktu mengalunkan bacaan doa Yasin sekitar pukul 12.15 tengah hari Sabtu lalu.
Allahyarham merupakan peserta kedua terakhir dalam pertandingan yang membabitkan 18 peserta itu.
Menurut Naib Pengerusi Surau Al-Hikmah, Abdullah Ishak, Halimah rebah sebelum sempat menghabiskan bacaannya.
"Tiba-tiba, pada akhir doa tersebut, dia pengsan dan terus rebah daripada kedudukan berdiri,” kata Abdullah.
Sabtu lalu, video seorang wanita rebah ketika sedang mengalunkan bacaan doa Yasin di sebuah surau menjadi viral di media sosial.
Halimah disahkan meninggal dunia di Hospital Jitra dan jenazah dikebumikan pada malam kejadian.
Allahyarham, sebelum kejadian, sempat berpesan kepada seorang rakan untuk merakam bacaannya untuk ditunjukkan kepada anaknya.
Menurut Halimatun Saadiah Saad, dia diberitahu akan pesanan daripada arwah itu melalui seorang ustazah yang turut serta dalam majlis tersebut.
"Saya mendapat khabar daripada ustazah yang bersama dalam majlis hafazan ini mengatakan bahawa arwah meminta rakannya untuk mengambil video dia masuk pertandingan itu untuk ditunjukkan kepada anaknya.
"Ini atas permintaan arwah sendiri, jadi kawan dia pun merakamkan," kata Halimatun Saadiah.
Tambah Halimatun Saadiah, ketika hayatnya, Allahyarham cukup dihormati sebagai guru agama yang berpengalaman.
Walaupun tidak sempat menghabiskan bacaannya, Halimah dipilih sebagai pemenang pertandingan itu kerana kelunakan suaranya.
#doa yasin #guru Al-Quran #Halimah Ramli #rebah dan meninggal dunia #ustazah halimah