MALAYSIA
Amal budaya membaca, jadi individu berilmu - Raja Perlis
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu rakyat negeri itu sentiasa mengamalkan budaya membaca supaya menjadi individu berilmu dan berpengetahuan, selain turut menyeru mereka untuk menghargai seni. - BERNAMA
ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu rakyat negeri itu sentiasa mengamalkan budaya membaca supaya menjadi individu berilmu dan berpengetahuan, selain turut menyeru mereka untuk menghargai seni.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda amat menekankan budaya mencintai ilmu dalam kalangan rakyat Perlis kerana ilmu pengetahuan merupakan asas kepada pembangunan sahsiah.
"Rakyat yang membaca dan cintakan ilmu akan melahirkan individu berilmu, berakhlak mulia, taat kepada agama dan berkemahiran tinggi," titah baginda semasa menyempurnakan perasmian Fiesta Seni 2025 bertemakan 'Warna dan Rasa' di Perpustakaan Cawangan Simpang Empat dekat sini hari ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah ilmu dan seni tidak dapat dipisahkan kerana seni juga berperanan sebagai medium penyampaian ilmu secara berkesan serta membantu perkembangan pemikiran kreatif.
"Sebagai contoh, seni lukis digunakan untuk menyampaikan mesej, nilai moral serta isu semasa manakala seni persembahan seperti puisi atau muzik tradisional juga mengandungi unsur pendidikan serta nasihat," titah baginda.
Pada majlis itu, Raja Perlis berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Seni Visual Negeri Perlis kepada Rosli Mat, 65, atau nama penanya Leemat yang telah berkecimpung dalam bidang seni visual selama 45 tahun.
-- BERNAMA