KUALA LUMPUR: Lima prinsip Rukun Negara bukan hanya setakat perlu dihafal dan dihayati, sebaliknya ia perlu dipraktikkan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini, agar perpaduan lebih utuh dan elakkan sengketa antara kaum.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jika kelima-lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, seharusnya dijunjung oleh rakyat Malaysia pada setiap masa.

"Saya percaya semua orang telah didedahkan dengan lima prinsip Rukun Negara ketika di bangku sekolah sejak ia diperkenalkan pada tahun 1970, dengan menghafal dan menghayati setiap daripada prinsipnya.

"Setakat menghafal itu tidak mencukupi dan amalan itu dilihat masih banyak kekurangannya... sebab itulah banyak isu membabitkan perkauman dan keagamaan sering timbul, sehingga mewujudkan sengketa dalam kalangan pelbagai kaum.

"Jika setiap daripada kita mengamalkan kelima-lima prinsip itu, nescaya isu sensitif dan perkauman tidak akan timbul dan keharmonian masyarakat majmuk dapat dikekalkan sehingga bila-bila," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perutusan khas sempena Aidilfitri 2024/1445H oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa.

Dalam perutusan itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia memerlukan kekuatan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, bagi melonjakkan negara ke tahap terbaik dan bermaruah, selain tidak boleh menyisihkan atau memusuhi mana-mana kelompok serta kaum sama ada majoriti mahupun minoriti atas apa jua alasan.

Anwar berkata, kerangka pembinaan bangsa itu, bukan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan dan meningkatkan pelaksanaan syariah di negara ini.

Lee berkata, keutuhan perpaduan perpaduan adalah paling penting dalam negara kita, kerana pada akhirnya kejayaan negara bukan hanya terletak pada ekonomi, sains dan teknologi, tetapi perpaduan menentukan segala-gala dan harus diberi keutamaan.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Lee Kuok Tiung berkata, walaupun pemimpin negara telah berkali-kali menasihati rakyat supaya tidak menimbulkan isu sensitif, masih ada lagi golongan tidak bertanggungjawab mengapi-apikan isu demi kepentingan mereka.

"Sama ada ahli politik, pemimpin mahupun rakyat biasa, kita harus berhati-hati dalam memberi sebarang kenyataan, kerana apa yang dilontarkan itu tidak semestinya diterima dan kadang-kala boleh disalahertikan oleh sesetengah pihak," katanya. - BERNAMA