MELAKA: Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya, akhir Januari lalu.

Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 27 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Bukit Rambai di sini, antara jam 8 hingga 9.30 pagi pada 31 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 26 dan 27 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta pertuduhan, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa mengadu kepada ibunya dia mengalami kesakitan dan sukar untuk membuang air kecil sebelum memberitahu tertuduh menyentuh bahagian sulitnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom menghujahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan dilakukan terhadap mangsa yang masih kecil.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan kerana telah menyesali perbuatan yang telah dilakukan terhadap mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 Februari lalu dan satu sebatan terhadap tertuduh. -Sinar Harian