AMPANG JAYA: Polis menahan dua penjaga sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Lembah Jaya Selatan, di sini kerana dipercayai mendera dan melakukan ambang seksual ke atas dua anak yatim yang tinggal di pusat tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada mangsa antara pukul 1.36 tengah hari dan 2.03 petang, pada Khamis mengenai kejadian itu.

Kedua-dua mangsa katanya, kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, 22 Oktober lalu, mangsa yang merupakan seorang pelajar Tingkatan Dua ketika berada di biliknya dimarahi seorang lelaki warga asing yang juga penjaga pusat jagaan itu.

"Suspek kemudian turut bertindak memukul menggunakan kayu serta menampar pipi mangsa kerana bermain telefon pintar di dalam bilik," katanya dalam kenyatan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mohd Azam memberitahu, kes kedua pula melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 20 Oktober lalu katanya, remaja tersebut yang ketika itu berada di sebuah bilik, telah ditarik oleh seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga sukarelawan.

"Suspek kemudian cuba merogol mangsa namun berjaya dihalang rakan remaja itu yang memasuki bilik berkenaan," jelasnya. 

Beliau memberitahu, susulan itu pihak sekolah telah menghubungi JKM sebelum JKM membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut. 

Tambah beliau, pemeriksaan di Hospital Ampang mendapati mangsa berusia 14 tahun mengalami lebam di bahagian tepi sehingga belakang peha kiri, betis kiri dan ada kesan bengkak di bahagian pipi kiri.

"Sementara mangsa yang berusia 13 tahun itu disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan," jelasnya.

Beliau memberitahu, bertindak atas laporan itu, polis menahan dua suspek termasuk seorang lelaki warga asing Jalan Sri Kemuning, Lembah Jaya Selatan, kira-kira pukul 5 petang, Khamis.

Kedua-dua lelaki berusia 27 tahun  katanya ditahan reman tujuh hari sehingga 2 November ini.

Mohd Azam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.