MALAYSIA

Amang seksual fizikal: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 10 tahun, dua sebat terhadap warden tahfiz

Bernama 17/07/2025 | 11:45 MYT
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang warden di pusat pengajian tahfiz atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, lima tahun lepas. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang warden di pusat pengajian tahfiz atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32, terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Okt 2023.

Hakim Azman berkata mahkamah mendapati keterangan mangsa, yang ketika kejadian berusia 11 tahun enam bulan, adalah kukuh dan tidak bersifat rekaan, malah turut disokong oleh keterangan doktor klinik kesihatan yang merawatnya.

"Mangsa menangis semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen. Aduan itu melibatkan seorang ustaz yang dihormati, yang bukan sahaja mencemarkan reputasi suspek tetapi memberi kesan emosi kepada mangsa sendiri," katanya.

Hakim Azman, yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, berkata mahkamah mendapati sabitan dijatuhkan terhadap perayu adalah betul dan tepat untuk kedua-dua pertuduhan.

Mengulas mengenai hukuman, Hakim Azman berkata perayu sepatutnya berperanan melindungi pelajar namun telah mengkhianati kepercayaan itu.

"Hukuman 10 tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan bukanlah keterlaluan. Ia bukan sahaja perlu menimbulkan rasa gerun kepada perayu, tetapi juga memberi mesej jelas kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan sebegini.

"Rayuan perayu ditolak, dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan," katanya.

Tengku Mohammad Khaireel didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bilik warden sebuah pusat tahfiz pada jam 11.30 malam, 1 Dis 2020, mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada 20 Dis 2022, Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan, yang diarahkan berjalan serentak.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Okt 2023 menaikkan hukuman penjara kepada 10 tahun serta mengurangkan jumlah sebatan kepada satu bagi setiap pertuduhan selepas membenarkan rayuan silang oleh pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi yang mewakili perayu berhujah bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam menilai kredibiliti mangsa yang didakwa memberi tiga versi berbeza mengenai kejadian.

Beliau turut menyatakan bahawa dua saksi kanak-kanak lain yang berada di katil dua tingkat dalam bilik sama tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berhujah bahawa keterangan mangsa adalah konsisten, disokong oleh doktor, guru pengiring, dan pegawai perakam.

"Mangsa beremosi dan menangis semasa memberi keterangan mengenai ustaz yang dihormati di sekolah. Ini bukan rekaan, tetapi berpunca daripada trauma.

"Ini satu bentuk pengkhianatan yang jijik, memandangkan perayu adalah warden dan semua pelajar bergantung harap kepadanya," katanya sambil memohon mahkamah menolak rayuan.

-- BERNAMA


#amang seksual fizikal #warden tahfiz #murid lelaki #Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab