PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan kerana melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik air asrama sebuah sekolah agama.

Mohd Zarul Afifi Mohd Zaki diperintahkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail supaya menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu sebelum ini bebas dengan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Dia gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitannya tetapi berjaya mengurangkan hukuman penjara daripada enam tahun dan dua sebatan kepada penjara setahun.

Hakim Hadhariah, yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, berkata terdapat bukti kukuh untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Zarul atas kesalahan itu.

Hakim itu bagaimanapun berkata mahkamah bersetuju dengan peguam M.M Athimulan yang mewakili Mohd Zarul bahawa hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan adalah keterlaluan kerana tiada sebarang kekerasan atau kecederaan terhadap mangsa.

Pada 28 April 2021, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Mohd Zarul daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh pergelangan tangan dan perut budak lelaki yang sedang mandi di bilik air asrama sekolah berkenaan di Kuantan, Pahang pada 3.10 petang, 23 Mac 2019.

Mahkamah Tinggi, pada 18 Jan 2022, membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan Mohd Zarul serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan. Mohd Zarul kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Dalam rayuan hari ini, Athimulan memohon mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen kerana beliau berkata mahkamah itu (Mahkamah Sesyen) telah membebaskan anak guamnya memandangkan kejadian itu berlaku secara spontan dan bukan dengan niat.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud, yang dibantu oleh TPR Aida Khairuleen Azli berhujah bahawa keterangan Mohd Zarul bahawa dia tidak menyedari telah memasuki pekarangan sekolah kerana bermain permainan Pokemon Go di telefon bimbitnya, hanyalah penafian semata-mata.

Beliau berkata keterangan Mohd Zarul bahawa dia memasuki bilik air untuk mengambil bajunya dan secara tidak sengaja menyentuh perut mangsa juga adalah penafian semata-mata.

-- BERNAMA