KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (5km) di Terengganu dan Pahang bermula 24 hingga 26 Dis ini.

JPS dalam kenyataan memaklumkan di Terengganu jangkaan banjir adalah pada 2 pagi (24 Dis) hingga 2 pagi 26 Dis dengan Sungai Besut melibatkan Daerah Besut iaitu di sekitar Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Keruak dan Kampung Pengkalan Nangka .

Di Kemaman pula membabitkan Sungai Kijing iaitu di sekitar Kampung Sungai Mas, Kampung Pelantuh, Padang Kubu, Kampung Paman dan Kampung Sungai Pinang.

Jangkaan banjir di daerah sama juga melibatkan Sungai Kemaman iaitu di sekitar Jambatan Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Darat Air Putih, Rumah Pam Paya Paman, Kampung Binjai, Kampung Bukit Mentok, Kampung Kubang Kurus dan Kampung Fikri.

Amaran banjir itu turut melibatkan Sungai Tebak di daerah sama meliputi kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Jambatan Tebak manakala Sungai Tersat di daerah Hulu Terengganu pula, membabitkan kawasan sekitar KM 8 Jalan Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Bukit Gemuruh.

Di Pahang pula, tarikh dan waktu dijangka banjir ialah pada 8 pagi 24 Dis sehingga 8 pagi 26 Dis melibatkan daerah Kuantan di Sungai Kuantan, dengan lokasi dijangka banjir ialah di sekitar Kuantan Bypass, Bukit Rangin, Kampung Sungai Tiram, Tanah Putih, Kampung Cenderawasih, Kampung Jawa dan Medan Warisan.

Daerah sama membabitkan Sungai Belat, kawasan diramal dilanda banjir ialah di sekitar Sri Damai, Taman Pandan Aman, Kampung Jaya Gading, Kampung Gudang Rasau, Kampung Telok Mahang dan Kampung Gelugor.

Dalam pada itu, Sungai Galing daerah sama membabitkan kawasan Kampung Galing, Taman Galing, Kampung Alor Akar manakala di Sungai Ular meliputi lokasi sekitar Kampung Sungai Ular dan Kampung Cherating Damai.

Menurut JPS, banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan dan daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini turut diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA