Amaran cuaca bahaya di beberapa kawasan di Johor - METMalaysia

Astro Awani
Januari 2, 2021 09:01 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di beberapa kawasan di Johor.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di beberapa kawasan di Johor.
METMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan sangat lebat dijangka berterusan di daerah-daerah Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Amaran cuaca buruk (jingga) pula dikeluarkan di Pahang melibatkan kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin; serta di Johor iaitu di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian.
Sementara itu, amaran cuaca waspada (kuning) dengan hujan lebat pula dijangka berlaku di Kelantan,
Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera); dan
Johor (Tangkak dan Muar).
Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.
Menurut kenyataan itu lagi, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan lain-lain kawasan di Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang
terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.
"Angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 km/jam dengan ombak melebihi 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh tersebut.
"Sementara di perairan Sarawak, Sabah dan WP Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 km/jam dengan ombak sehingga 4.5 meter dijangka boleh berlaku dalam tempoh tersebut," kata MetMalaysia.
Selain itu, kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.
#amaran cuaca bahaya #Johor #MetMalaysia #Merah #Johor Bahru #hujan lebat #banjir kilat