PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hak untuk menentukan dasar sendiri.

Respons tersebut diberikan susulan amaran oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mengenai potensi peranan Huawei dalam rangkaian 5G negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Malaysia sebuah negara berdaulat dan kerajaan berhak membuat keputusan terbaik untuk negara.

“Insya-Allah saya akan mengadakan pertemuan dengan semua duta asing yang terlibat dalam isu ini.

“Pihak kerajaan telah membuat keputusan yang penting. Ditegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang berdaulat, kerajaan Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan dasar sendiri tanpa kacau ganggu atau penglibatan oleh mana-mana pihak yang lain,” katanya dalam sidang media Inisiatif 5G di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran EU dan AS kepada Malaysia tentang risiko terhadap keselamatan negara dan pelaburan asing.

Financial Times melaporkan EU dan AS sudah menulis surat kepada kerajaan pada April lalu selepas ia memutuskan untuk mengkaji semula keputusan pemberian tender bernilai RM11 bilion kepada Ericsson bagi pembangunan rangkaian 5G.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau juga percaya sebarang keputusan oleh kerajaan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan keharmonian di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya setelah kita mengadakan perbincangan, pertemuan dan memberikan penjelasan kepada pihak yang terbabit, mereka akan faham pendirian Malaysia,” tambah Fahmi.

BERITA LANJUT MENYUSUL…