Amaran hujan berterusan peringkat jingga, kuning di kebanyakan negeri

Bernama
Januari 1, 2022 07:36 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor hingga Isnin ini (3 Jan). - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor hingga Isnin ini (3 Jan).
MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan 1 tengah hari tadi memaklumkan hujan lebat berterusan itu membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta seluruh Melaka.
Hujan berterusan peringkat kuning (waspada) pula dijangka berlaku di Perak melibatkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson); dan Johor (Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hingga Isnin.
Amaran tahap waspada itu turut dijangka berlaku hingga Selasa (4 Jan) di Kelantan, Terengganu, Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) serta Sabah iaitu di Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan), serta Kudat.
-- BERNAMA
#MetMalaysia #amaran hujan lebat #Banjir 2021 #mangsa banjir