MALAYSIA

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu hingga 29 Dis

Bernama 26/12/2025 | 03:00 MYT
MetMalaysia memaklumkan, kawasan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh di Kelantan, manakala di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan dan Terengganu hingga 29 Dis ini (Isnin).

MetMalaysia memaklumkan, kawasan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh di Kelantan, manakala di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai di Kelantan; Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman); serta Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) bagi tempoh yang sama.

Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada diramalkan melanda kawasan Gua Musang di Kelantan; Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) hingga Isnin depan.

-- BERNAMA


#amaran hujan #hujan berterusan #MetMalaysia #hujan di Kelantan